arena

Djokovic minta maaf, akui kesilapan

Oleh AFP

BINTANG tenis Serbia, Novak Djokovic meminta maaf apabila menjadi pemain keempat positif Covid-19 selepas menyertai kejohanan pertunjukan yang dianjurkannya di Balkan.

Dia dan penganjur juga mengakui kesilapan mereka meneruskan kejohanan terbabit.

Peringkat akhir Jelajah Adria di Bosnia dibatalkan dan menimbulkan persoalan serius mengenai sukan itu yang akan kembali secara rasmi pada Ogos depan.

Djokovic yang tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti virus itu selepas Grigor Dimitrov, Borna Coric dan Viktor Troicki ketika peringkat kedua kejohanan yang kurang mematuhi garis panduan kesihatan. Penjarakan sosial hanya pada jarak minima, pemain dilaporkan mengunjungi kelab malam dan berpelukan di jaring selepas tamat perlawanan.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic berkata isterinya, Jelena turut diuji positif manakala anaknya negatif.

"Saya benar-benar minta maaf, kejohanan ini mencetuskan bahaya kepada kesihatan," kata pemain berusia 33 tahun.

"Kami percaya kejohanan ini mematuhi semua protokol kesihatan dan situasi di wilayah kami tampak baik untuk menyatukan orang ramai atas sebab yang pelbagai," kata juara Grand Slam 17 kali itu yang akan mengkuarantinkan diri selama 14 hari.

"Kami silap dan ia terlalu awal."

Pada Ahad lalu, pemain ke10 dunia dari Bulgaria, Dimitrov dia diuji positif selepas menarik diri daripada kejohanan terbesar sejak musim tenis terhenti susulan pandemik koronavirus. Pemain Croatia, Coric dan Troicki dari Serbia turut diuji positif kelmariin.

Perkembangan terbaru itu menimbulkan kesangsian bagaimana ATP dan WTA boleh dianjurkan kembali dengan cara terbaik pada Ogos depan.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 11:25am
d