arena

Ambil masa berlatih ikut SOP

Oleh Asrol Awang

TEMPOH 10 hari dijangka diperlukan skuad Felda United FC untuk menyesuaikan diri berlatih dalam normal baharu ketika negara masih berdepan penularan wabak Covid-19.

Jurulatih The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, ini kerana banyak perubahan yang perlu dilalui anak buahnya terutama daripada segi jadual dan corak latihan.

"Sebenarnya, banyak yang berubah sebaik dibenar kembali menjalani latihan di padang termasuk persiapan dan jumlah pemain pada sesi latihan.

"Mungkin 10 hari semua pemain akan dapat membiasakan diri berlatih dalam normal baharu kerana sebelum ini mereka berlatih dengan jumlah pemain yang melebihi 20 orang.

"Tapi dengan hanya 10 pemain berlatih dalam satu sesi memerlukan tempoh masa untuk mereka menerima sebaiknya corak latihan yang diberikan," katanya.

Berkuatkuasa 21 Jun lalu, Felda United mendapat kelulusan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjalani latihan pasukan fasa satu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengikut jadual baharu, kelab itu mengadakan tiga sesi latihan setiap hari iaitu selama 45 minit bagi setiap sesi yang membabitkan 10 pemain.

Perubahan jadual itu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, Mohd Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan mengharapkan anak buahnya dapat memberikan komitmen 100 peratus sepanjang latihan.

"Latihan di padang juga bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kecergasan, malah persefahaman dan kemahiran sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula nanti.

"Lebih tiga bulan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak bersama sudah pasti semua pemain memerlukan tempoh masa dalam membentuk kembali pasukan," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 10:09pm
d