arena

Akur jika liga disambung awal

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berkata pemainnya tetap bersedia mempamerkan aksi terbaik dalam baki saingan Liga Super musim ini jika liga utama itu disambung Ogos ini.

Beliau berkata, sebagai pasukan profesional, TFC akur terhadap apa juga keputusan yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengelola Liga Malaysia (Liga M).

Namun jurulatih muda meningkat naik itu tidak menolak kemungkinan cabaran sukar bakal dilalui pemainnya untuk mencapai tahap kecergasan terbaik sekiranya liga divisyen satu itu disambung lebih awal berbanding September.

"Jika liga bermula Ogos bermakna kita ada antara enam hingga tujuh minggu untuk mengadakan latihan dan persediaan sebelum bermula liga. Bagi memastikan pemain berada pada prestasi terbaik mungkin belum sampai masa lagi.

"Daripada segi latihan kita lihat perkembangan semasa dan sekiranya dibenarkan latihan seperti biasa, adalah lebih bagus dan cepat untuk proses pemulihan," katanya.

TFC yang kini menghuni ditangga kelapan liga dengan mengumpul empat mata hasil daripada tiga perlawanan, masih berbaki lapan perlawanan lagi dengan masing-masing empat aksi di laman sendiri dan lawan.

Mengulas mengenai saingan Liga M yang bakal berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton, Nafuzi tetap memandang positif biarpun sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kemeriahan perlawanan dan sokongan moral daripada peminat setia.

"Situasi ini bukan berlaku di Malaysia sahaja, malah secara global kerana di Eropah pun kita tengok perlawanan bermula semula tanpa peminat," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2020 @ 10:21pm
d