arena

Ramos bantu Real rampas takhta La Liga

Oleh AFP

SEPAKAN percuma sensasi Sergio Ramos membantu Real Madrid menewaskan Real Mallorca 2-0 dan memintas Barcelona di puncak La Liga, awal pagi tadi.

Tindakan Ramos mengetepikan Gareth Bale untuk mengambil sepakan percuma berbaloi apabila rembatan lencungnya tepat ke penjuru gawang untuk jaringan kedua selepas

pemain berusia 19 tahun, Vinicius Junior meletakkan Real di depan pada babak pertama.

Kemenangan di Stadium Alfredo di Stefano menyaksikan Real berkongsi mata sekali lagi dengan Barcelona tetapi menduduki tangga teratas berdasarkan rekod pertemuan.

"Ada baki tujuh perlawanan lagi," kata Ramos. "Hanya terdapat satu sahaja liga pada tahun koronavirus dan kami mahu menjuarainya untuk penyokong."

Bale jarang diturunkan sejak La Liga kembali bersambung pada 11 Jun tetapi Zinedine Zidane meneruskan polisi giliran dan memberikan peluang kepada bintang Wales itu beraksi dalam kesebelasan utama sejak 16 Februari.

Namun dia gagal menyinar ketika Vinicius mempamerkan aksi lebih mantap dengan percubaan pemain Brazil itu terkena palang pada babak pertama.

Ramos paling mencuri tumpuan menerusi sepakan percuma sensasi untuk jaringan kelapan musim ini selain muncul pemain pertahanan paling banyak menjaringkan gol di La Liga apabila meledak penalti ketika menentang Real Sociedad.

Disiarkan pada: June 25, 2020 @ 8:37am
d