arena

City gagal saingi semangat Liverpool - Guardiola

Oleh AFP

PEP Guardiola berkata, Manchester City gagal menyaingi 'nafsu' Liverpool untuk mengungguli Liga Perdana apabila juara bertahan itu tewas 1-2 kepada Chelsea di Stamford Bridge.

Selepas dua tahun dibayangi kehebatan City, Liverpool tampil mengagumkan dengan merampas gelaran menerusi 28 kemenangan daripada 31 perlawanan dan mendahului 23 mata di puncak liga.

Guardiola mengakui pemainnya bergelut menyaingi keinginan dan semangat dipamerkan skuad Jurgen Klopp.

"Mungkin kami tidak mempunyai tahap keinginan yang sama. Liverpool beraksi setiap perlawanan seperti itulah peluang terakhir mereka miliki," kata Guardiola.

"Mungkin juga kami tak dapat saat itu terutamanya ketika pada peringkat pertama musim. Itu lah realitinya, kami ketinggalan jauh di belakang. Liverpool fantastik dari segi kosistensi sepanjang musim.

"Kami keciciran mata pada awal musim dan Liverpool bijak manfaatkan peluang."

Kejayaan Liverpool hadir bersama rekod baki tujuh perlawanan dan Reds mampu memintas catatan skuad Guardiola yang dicipta dua tahun lalu.

Selain menggesa City lebih fokus selepas ini, Guardiola turut menyedari tugas getir untuk skuadnya merampas gelaran musim depan.

"Kami perlu bangkit, lebih konsisten dan mendapatkan kembali mata yang hilang musim ini.

"Itu realiti. Dua tahun lalu kami 25 mata di hadapan kami dan sekarang sebaliknya."

Guardiola sedar kejuaraan bakal berpindah ke Merseyside sejak beberapa bulan lalu selepas Liverpool jauh meninggalkan mereka sebelum liga terhenti akibat koronavirus dan sekarang pengendali City itu mencabar barisan bintangnya mempelajari sesuatu daripada pengalaman musim ini.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 9:01am
d