arena

Arsenal kembali ceria, Watford terus derita

Oleh AFP

ARSENAL menghidupkan peluang ke Eropah selepas Eddie Nketiah memanfaatkan kesilapan penjaga gol Southampton, Alex McCarthy ketika menang 2-0, awal pagi tadi.

Skuad Mikel Arteta dihadiahkan gol pendahuluan pada babak pertama di St Mary apabila Nketiah memintas hantaran McCarthy dan mudah menolak masuk.

Joe Willock menggandakan jaringan pada lewat babak kedua sejurus pemain tuan rumah, Jack Stephens dibuang padang akibat mengasari Pierre-Emerick Aubameyang.

Sebelum ini Arsenal tewas dua perlawanan berturut-turut selepas Liga Perdana kembali bersambung sekali gus mengakhiri impian mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Malah Arteta teruk dikritik susulan keputusannya melanjutkan kontrak David Luiz dan Cedric Soares walaupun berdepan kecederaan dan kemerosotan prestasi.

Kemenangan Arsenal di St Mary melonjakkan mereka ke tangga sembilan dan memastikan mereka kekal dalam buruan ke slot Liga Europa sekali gus melegakan Arteta.

"Ini kemenangan sangat penting kepada kami. Kami berdepan dua minggu yang sukar dengan banyak perkara berlaku," kata Arteta said.

"Saya risau kerana selepas tewas di Brighton yang mana kami benarkan lawan bangkit memberi kesan kepada moral pasukan."

Matteo Guendouzi digugurkan selepas terdapat laporan Arteta bengang dengan sikap pemain tengah Perancis itu manakala Alexandre Lacazette dan Mesut Ozil memanaskan bangku simpanan.

Aubameyang sepatutnya meletakkan Arsenal di depan pada awal permainan tetapi percubaan jarak dekat penyerang Gabon itu terkena palang dan melantun keluar.

Kesungguhan Gunners mengasak kubu lawan berhasil pada minit ke-20 menerusi kesilapan McCarthy. Jan Bednarek yang diasak Nketiah menghantar bola kepada penjaga golnya namun hantaran semula McCarthy dipintas pemain Arsenal itu yang mudah menolak masuk untuk gol pendahuluan pelawat.

Itu adalah jaringan keduanya dalam aksi liga daripada pemain berusia 21 tahun itu dan yang keempat dalam semua kejohanan.

Gol kedua Arsenal pada minit ke-87 menerusi tolakan jarak dekat Willock susulan sepakan percuma di luar kotak penalti selepas Aubameyang dikasari Stephens.

Dalam perlawanan awal, Burnley menewaskan kelab bergelut, Watford 1-0 hasil jaringan Jay Rodriguez.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 9:44am
d