arena

Eibar sekat hajat Valencia

Oleh AFP

HARAPAN Valencia menduduki kelompok empat teratas La Liga musnah selepas tewas mengejut 0-1 kepada pasukan yang bergelut dalam zon penyingkiran, Eibar di tempat lawan.

Jaringan sendiri Geoffrey Kondogbia pada minit ke-16 meletakkan Eibar di depan dalam saingan di Ipurua yang jelas dikuasai mereka demi menyelamatkan kedudukan dalam liga.

Valencia tak perlu merungut dan kekalahan menyebabkan mereka terperosok di tangga kelapan, tujuh mata di belakang Sevilla di tangga keempat. Sejak La Liga bermula, mereka hanya menang sekali daripada empat perlawanan.

Mereka mara ke Liga Juara-Juara tahun lalu pada hari terakhir musim tetapi nasib kali ini tidak menyebelahi Valencia dengan pertahanan, Jose Luis Gaya mengakui harapan menduduki empat teratas terlalu sukar.

"Kami tahu apa yang dijangkakan di atas padang. Kami tahu apabila Eibar mendahului, ia menyukarkan kami," kata Gaya.

"Adalah mustahil layak ke Liga Juara-Juara sekarang. Kami ketinggalan jauh dan sukar untuk pulih. Kami benar-benar kecewa kerana tidak mengambil kesempatan."

Kemenangan Eibar melonjakkan mereka enam mata di depan Real Mallorca dalam zon penyingkiran namun belum selamat dengan baki tujuh lagi perlawanan bakal diharungi.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 11:01am
d