arena

Djokovic tak patut minta maaf pada 'tikus'

Oleh AFP

BINTANG Manchester United, Nemanja Matic mempertahankan rakan senegara, Novak Djokovic yang dikritik selepas menganjurkan kejohanan pertunjukan dicemari empat kes pemain positif koronavirus.

Menurut Matic, pemain nombor satu dunia itu seperti kucing yang akan menghalau tikus.

"Tolong hormatinya. Saya lihat sejak beberapa hari lalu, terdapat kempen mengkritik Novak Djokovic yang menganjurkan kejohanan di Belgrade walaupun mengikut peraturan di Serbia semuanya berjalan lancar dan dianjurkan pada tahap tinggi," kata Matic dalam surat terbuka kepada umum seperti didedahkan Telegraf.

"Bagaimanapun, terdapat tikus yang keluar daripada lubang dan menggunakan haknya mengkritik pemain nombor satu dunia itu tetapi saya tak bimbang dan tak peduli."

"Tak lama lagi, kucing akan kembali ke gelanggang dan tikus lari bersembunyi dalam lubang. Kejohanan itu bagus dan saya berharap ia akan menjadi tradisi kerana sukan tenis berhak ke atasnya. Sesuatu yang saya tidak setuju dengan Novak ialah dia meminta maaf kepada tikus yang mengkritik dia tanpa sebab. Tidak, Nole. Mereka yang akan meminta maaf kepada anda - tak lama lagi."

Selain Grigor Dimitrov, Borna Coric dan Viktor Troicki, Djokovic sendiri turut diuji positif selepas menyertai peringkat kedua kejohanan di Croatia minggu lalu.

Pemain berpelukan selepas tamat perlawanan, bermain bola keranjang malah menari di kelab malam sebelum datang ke Belgrade.

Bintang Serbia berusia 33 tahun itu meminta maaf selepas kejohanan anjurannya menimbulkan masalah kesihatan kepada pemain malah isterinya, Jelena turut dijangkiti selepas pulang dari Croatia.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:08pm
d