arena

Australia, New Zealand anjur Piala Dunia Wanita 2023

Oleh BERNAMA

AUSTRALIA dan New Zealand akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2023, demikian diumumkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) awal pagi ini.

Fifa dalam satu kenyataan memaklumkan Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dan Bolasepak New Zealand (NZF) memenangi undi dijalankan Majlis Fifa semasa mesyuaratnya yang diadakan menerusi sidang video yang keputusannya diumumkan Presiden Fifa, Gianni Infantino.

Bidaan bersama itu memperoleh 22 daripada 35 undi sah oleh ahli Majlis berkenaan dalam undi pertama untuk mengetepikan pencabar terdekat, Persatuan Bolasepak Colombia yang menerima 13 undi.

Selepas kejayaan menganjurkan Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis, edisi akan datang mempunyai beberapa perkara yang akan mengukir sejarahnya sendiri.

Edisi 2023 akan menjadi edisi pertama mengetengahkan 32 pasukan, pertama kali Piala Dunia Wanita akan diadakan di rantau Asia-Pasifik, pertama kali pernah diadakan di selatan Hemisfera dan ia juga kali pertama Australia dan New Zealand menjadi tuan rumah bersama dan melangkaui dua persekutuan -- Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Oseania (OFC).

Presiden NZF dan Ahli Majlis FIFA, Johanna Wood yakin Australia-New Zealand akan menjayakan kejohanan itu seperti yang belum pernah dilihat sebelum ini.

"Kedua-dua negara ini telah bekerjasama untuk memberi sesuatu kelainan, yang bersejarah dan luar biasa dan saya ingin berterima kasih kepada Fifa dan seluruh keluarga bola sepak kerana memberi peluang ini kepada kami. Piala Dunia Wanita Fifa 2023 akan menyatukan kita semua dalam satu sambutan dalam kalangan kita yang cintakan bola sepak," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:25pm
d