arena

Momota tak sabar gegar Olimpik

Oleh AFP

BINTANG badminton Jepun, Kento Momota berkata, dia kini pulih sepenuhnya daripada kecederaan mata selepas terbabit kemalangan dan bertekad membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo.

"Saya tiada masalah ketika beraksi," kata pemain nombor satu dunia itu yang menjalani pembedahan di bahagian matanya pada Februari lalu.

"Saya mampu memberi 100 peratus ketika latihan," katanya.

Kemalangan berlaku beberapa jam selepas pemain berusia 25 tahun itu menjuarai Masters Malaysia dan meragut nyawa pemandunya ketika menuju ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

"Saya akan melakukan yang terbaik setiap hari demi mencapai cita-cita meraih emas Sukan Olimpik," katanya.

Pandemik koronavirus memaksa temasya itu ditangguhkan setahun lagi ke Julai 2023 tetapi pakar kesihatan bimbang tempoh itu tidak cukup membendung penularan virus Covid-19 dan menganjurkannya dengan selamat.

Momota yang terlepas Olimpik Rio 2016 selepas digantung penyertaan susulan berkunjung ke pusat judi mengakui kecewa dengan penangguhan itu.

"Saya hanya mempunyai masa enam bulan selepas pembedahan. Tiada masa relaks, saya cuba menghabiskan masa dengan berlatih setiap hari," katanya.

"Kini saya terpaksa berlatih lebih lama."

Bagaimanapun, Momota berkata dia tetap berlatih dengan keras untuk terus kekal positif dan fokus kejayaan di temasya terbabit.

"Saya tak mahu beri alasan dengan berkata saya tak boleh beraksi dengan baik kerana itu dan ini."

Koronavirus menjejaskan latihannya tetapi dia memanfaatkan peluang dengan menganalisa permainan dan membaiki beberapa kelemahan.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 2:55pm
d