arena

Didenda jika lebih berat badan

Oleh Malik Muhamad

KETUA jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad mendedahkan sekurangnya-kurangnya empat pemainnya bakal dikenakan denda sehingga RM200 bagi setiap satu kilogram (kg) kerana melebihi berat badan yang ditetapkan.

Bagaimanapun jurulatih muda meningkat naik itu tidak mahu terburu-buru menghukum, sebaliknya masih memberi ruang dan peluang kepada anak buahnya untuk menurunkan berat badan sebagaimana yang sudah dipersetujui.

Bekas pertahanan kental skuad Terengganu itu berkata, beliau memberi tempoh sehingga hari kedua latihan pasca Covid-19 sebelum hukuman denda itu dilaksanakan kepada pemain.

"Kami sudah memberikan borang kaji selidik kepada semua pemain pada minggu lalu untuk diisi berkaitan berat badan, tahap kecergasan dan beberapa perkara lagi, mereka perlu menghantar borang itu kepada kami mengikut tarikh yang ditetapkan.

"Setakat ini daripada 18 pemain yang sudah hantar borang berkenaan dengan lima pemain lagi belum berbuat demikian, empat daripadanya tidak melepasi syarat yang kami tetapkan iaitu melebihi berat badan dan pemain berkenaan berdepan dengan denda jika gagal menurunkan berat badan.

"Tapi kami tidak kejam, sebaliknya tetap memberikan mereka masa sehingga hari kedua latihan dan jika pemain berkenaan masih gagal berbuat demikian, baharulah kita melaksanakan hukuman itu, jika lebih satu kg, mereka akan didenda RM200, tapi jika dua kg menjadi RM400," kata Ishak.

Pada pertengahan Mac lalu iaitu selepas Liga Malaysia (Liga M) ditangguhkan, skuad The Corp menetapkan syarat pemain yang gagal mengawal berat badan ideal selepas latihan disambung semula akan didenda sehingga RM200 bagi setiap satu kg.

Menariknya bukan sahaja mereka yang lebih berat badan akan didenda, tapi pemain yang tidak cukup berat badan yang ditetapkan juga berdepan dengan hukuman itu.

Disiarkan pada: June 26, 2020 @ 9:43pm
d