arena

Kereta kesayangan Beckham diiklankan di 'AutoTrader'

Oleh Agensi

JIKA anda berminat untuk merasai kehidupan seperti David Beckham mungkin anda boleh mendapatkan kereta yang digunakan bekas pemain Manchester United itu.

Kereta legenda bola sepak England itu, Aston Martin V8 Volante diiklankan di AutoTrader dengan harga £445,000 (RM2.3 juta).

Ketika di puncak kariernya bermain dengan United, Beckham berjaya mendapatkan kereta berkenaan yang hanya dikeluarkan sebanyak 78 buah dan sering kelihatan bersiar-siar di barat London bersama isterinya, Victoria bersama jentera mewah itu.

Kereta yang didatangkan dengan warna merah ceri, dilengkapkan bersama ruangan dalaman kulit krim, menggunakan enjin X Pack.

Ia menggunakan kotak gear manual lima kelajuan dan kuasa 432 hp, serta mampu meluncur 0-96 kilometer per jam (km/j) dalam tempoh 5.2 saat.

Kelajuan paling tinggi boleh dicapai ialah 270 km/j dan Beckham pernah memilikinya selama 15 tahun sebelum menjualnya pada 2018.

Pada asalnya kereta berkenaan didaftarkan menggunakan nombor pendaftaran peribadi 'DB1001', membuatkan beliau sentiasa dikenali dalam kalangan peminat dan paparazzi.

Beliau sangat sayang dengan kereta berkenaan dan pernah membawanya ke Sepanyol ketika berpindah ke Real Madrid pada 2003.

Jumlah keseluruhan yang dicatatkan kenderaan berkenaan ialah 61, 315 kilometer dan pernah dipamerkan di Pertunjukkan Kereta Klasik London Februari lalu sebelum perintah berkurung.

"Kita tahu bahawa Beckham sangat meminati kereta klasik dari Bentleys hinggalah ke Rolls Royce dan sudah tentu Aston Martin.

"AMV8 adalah jentera klasik yang sangat gah dan saya tidak terkejut beliau menyimpan kereta ini terlalu lama.

"Ia sesuatu yang menarik apabila orang ramai secara terbuka dapat mendapatkan kereta ini dan jika mereka memiliki sejumlah wang yang ditetapkan terus datang ke Auto Trader," kata jurucakap AutoTrader dan pakar kereta Rory Reid.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 2:26pm
d