arena

Hamilton bidas kecaman Ecclestone

Oleh AFP

JUARA dunia, Lewis Hamilton melabelkan Bernie Ecclestone sebagai kurang berpengetahuan dan tidak terpelajar selepas bekas supremo Formula Satu (F1) itu mendakwa 'orang kulit hitam adakalanya lebih bersikap perkauman berbanding orang kulit putih'.

Ecclestone, yang juga supremo F1 selama empat dekad, diminta mengulas mengenai inisiatif Hamilton dalam menjalankan aktiviti anti perkauman.

Ketika memuji kempen juara dunia enam kali itu, dalam masa sama Ecclestone, 88, meragui mengenai hasrat Hamilton menubuhkan pertubuhan yang bertujuan untuk menarik lebih ramai remaja kulit hitam menyertai sukan pemotoran.

"Saya tidak merasakan ia ada kaitan dengan sesuatu yang buruk atau bagus buat F1. Saya mahu orang berfikir mana lebih penting. Saya rasa sama seperti semua orang. Dalam banyak kes, orang kulit hitam lebih bersifat perkauman daripada orang kulit putih," kata Ecclestone.

Hamilton, satu-satunya pelumba berkulit hitam dalam F1, membidas kenyataan Ecclestone.

"Bernie sudah tidak berada dalam sukan ini dan daripada generasi berbeza, tetapi inilah silapnya, kurang pengetahuan dan ulasan tidak bijak yang menunjukkan betapa masih jauh masyarakat kita sebelum kesamaan dapat dicapai.

"Jika seseorang yang menguruskan sukan ini untuk berdekad lamanya masih tidak memahami isu yang kami orang kulit hitam hadapi setiap hari, bagaimana kita mahu mengharapkan semua orang yang bekerja di bawahnya untuk faham," kata Hamilton.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 2:48pm
d