arena

Vivian tagih program baharu

Oleh Ferzalfie Fauzi

JIKA Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia, Wong Choong Hann mahukan sentuhan asli, pemain beregu wanita, Vivian Hoo pula mengharapkan program baharu dapat diterapkan oleh Chan Chong Ming.

Menurut pemain senior negara itu, ini adalah peluang terbaik buatnya berkongsi ilmu dengan seorang lagi jurulatih sebelum mengumumkan persaraan.

"Paling penting apabila sudah mendapat jurulatih baru nanti, kami harus mempunyai masa yang panjang untuk memahami antara satu sama lain," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Chong Ming dikhabarkan akan melapor diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) minggu depan tatkala beliau adalah salah seorang pengendali baru skuad negara selain bekas pemain beregu Indonesia, Flandy Limpele.

"Saya berharap kami dapat menyesuaikan diri dengan cepat apabila di bawah tunjuk ajar jurulatih baru nanti," katanya yang berganding bersama Yap Cheng Wen.

Ditanya mengenai apa yang dimahukan atau diharapkannya di bawah kendalian Chong Ming, pemain berusia 30 tahun itu berkata, program latihan paling diutamakan.

"Saya harap jurulatih yang akan membimbing kami nanti mempunyai perancangan permainan atau taktik baru," katanya.

Khamis lalu Choong Hann mengakui memberi kebebasan buat dua jurulatih baru, Chong Ming (beregu wanita) dan Flandy (beregu lelaki) untuk mencorakkann sendiri program latihan kepada pemain.

Katanya dengan cara berkenaan kedua-dua itu dapat menjaga keaslian program latihan masing-masing tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 7:01pm
d