arena

Lagi anak Malaysia disambar kelab Eropah

Oleh Firdaus Hashim

SELEPAS Belgium, Sepanyol dan Serbia berjaya 'ditakluk' oleh anak Malaysia, kini Liga Belanda dikhabarkan sudah mengikat dua pemain negara sekali gus menambah bilangan tonggak tempatan di benua Eropah.

Pasangan kembar berdarah kacukan, Declan Lambert dan Ryan Lambert masing-masing menandatangani kontrak selama dua musim bersama kelab divisyen dua Belanda, FC Den Bosch.

Declan dan Ryan, 22, yang dilahirkan di Kuala Lumpur di mana ibunya adalah rakyat Malaysia manakala bapanya pula yang berasal dari England, ditawarkan kontrak profesional oleh kelab itu.

Menerusi pengumuman yang dibuat di laman Facebook rasmi FC Den Bosch semalam, Declan bakal beraksi dalam skuad utama sementara Ryan perlu memulakan aksi dengan skuad bawahan bagi menambah minit permainan sebelum dinaikkan ke pasukan utama.

Perkhabaran itu sememangnya mengembirakan kem negara dengan kedua-duanya boleh memperkuatkan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Declan beraksi di posisi pertahanan manakala Ryan di bahagian tengah.

Terdahulu, menerusi laporan Arena Metro menyaksikan terdapat empat pemain muda negara berjaya mengetuk pintu akademi terkemuka Sepanyol, FC Malaga City iaitu Allee Putra Azril, Aniq Asri Nasharudin Elias, M Devekumaran dan Ahmad Mubashshir Azizi.

Selain mereka, dua lagi pemain muda iaitu Luqman Hakim Shamsudin dijangka akan berkelana ke Liga Jupiler di Belgium, sementara Omar Raiyan Kama Azlan disahkan sudah menandatangani kontrak dengan kelab terkemuka Serbia, Red Star Belgrade.

Kejayaan pasangan kembar ini sudah tentunya memberi berita gembira buat pengendali negara, Tan Cheng Hoe selepas seorang lagi pemain warisan dari Republik Congo, Marcel Kalonda dijangka menyertai pasukan negara.

Ia sekali gus menambah pilihan dalam skuad negara terutamanya di bahagian pertahanan yang ketika ini juga diperkuatkan dua tonggak kacukan iaitu Matthew Davies dan Corbin Ong.

Selain itu, seorang lagi pemain warisan yang bermain di posisi tengah, Brendan Gan dan dua tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh serta Liridon Krasniqi antara bintang yang turut memperkuatkan pasukan negara.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 7:38pm
d