arena

Lee Tuck lega kembali berlatih

Oleh Malik Muhamad

"Pelik tapi teruja," demikian pengakuan kapten pasukan Terengganu FC (TFC), Lee Tuck ketika ditanya reaksinya menjalani latihan dalam suasana norma baharu ketika negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19.

Pemain paling popular Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2018 itu mengakui latihan sedemikian adalah penting buat masa ini untuk menjaga keselamatan semua pemain dan mereka yang terlibat.

"Ya saya sangat gembira kerana kami sudah menjalani latihan sebelum menyambung semula baki lapan perlawanan lagi dalam saingan Liga Super di samping aksi Piala Malaysia musim ini walaupun Piala FA musim ini dibatalkan.

"Lagipun kami sudah lama terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan, pada waktu itu saya tidak tahu bila kita akan bermula dan sampai bila PKP ini akan berakhir.

"Jadi saya cuma fokus kepada latihan individu seperti berlari, berbasikal dan membuat latihan di taman dalam kawasan rumah, tapi kini dapat berlatih bersama rakan sepasukan rasa terlalu gembira.

"Pada awal latihan terasa juga pelik dengan peraturan baharu, tapi selepas beberapa hari berlatih suasana itu pasti akan jadi biasa kerana semua pemain dan pasukan melakukan perkara yang sama.

"Harapan saya aksi liga dapat diteruskan seperti biasa nanti kerana sudah tidak sabar untuk bermain, lagipun impian saya mahu menamatkan karier bola sepak di Malaysia," kata pemain kelahiran Halifax, England itu yang sudah empat musim beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M).

Skuad Penyu yang kini menghuni di tangga kelapan liga dengan mengutip empat mata hasil tiga perlawanan, memulakan latihan sejak pagi Isnin lalu di bawah kendalian jurulatih Nafuzi Zain.

Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 7:54pm
d