arena

Robben kembali ke pangkuan Groningen

Oleh AFP

PEMAIN sayap Belanda, Arjen Robben bersedia untuk keluar dari persaraan dan menyertai Groningen, kelab pertamanya sepanjang bergelar profesional.

Selepas meninggalkan Groningen pada 2002, Robben memenangi kejuaraan liga bersama PSV Eindhoven, Chelsea dan Real Madrid sebelum merakamkan musim cemerlang selama sedekad dengan Bayern Munich.

Dia bersara dari Bayern setahun lalu pada usia 35 tahun, selepas membantu kelab berkenaan meraih lapan kejuaraan Bundesliga termasuk menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2013.

Pemain yang membantu Belanda muncul naib juara Piala Dunia 2010 itu berkata, dia bermotivasi tinggi untuk kembali namun harus kembali cergas terlebih dulu.

"Saya mahu kembali beraksi di FC Groningen. Buat masa sekarang saya tidak pasti sama ada ia akan berlaku.

"Apa yang saya boleh katakan motivasi saya untuk kembali ialah 100 peratus. Saya mahu mencuba dan saya akan menyertai latihan pertama untuk musim baru.

"Impian saya adalah mahu menyarung kembali jersi FC Groningen, ia masih belum muktamad tapi kita boleh sentiasa memasang impian.

"Saya berusia 12 tahun ketika menyertai akademi Groningen dan melakukan penampila pertama pada usia 16 tahun menentang PSV," kata Robben dalam laman web kelab berkenaan.

Robben menerangkan perkara berkenaan selepas melihat kain rentang di stadium Groningen yang mempunyai kaitan dengannya.

Kain rentang berkenaan tertera tulisan 'Arjen Follow Your Heart'.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 12:32pm
d