arena

Lazio terus tekan Juventus

Oleh AFP

CIRO Immobile dan Luis Alberto berjaya membantu Lazio terus mengejar kejuaraan liga apabila kedua-duanya meledak jaringan ketika menumpaskan Fiorentina awal pagi tadi.

Kemenangan berkenaan menyaksikan mereka hanya dibezakan empat mata dengan pendahulu liga, Juventus.

Lazio masih belum tumpas selepas 21 perlawanan tewas mengejut kepada Atalanta 3-2 Rabu lalu, walaupun sudah mendahului dua gol.

Bagaimanapun, pasukan bimbingan Simone Inzaghi ini mengukuhkan kedudukan kedua liga, di belakang juara lapan kali berturut-turut, Juve yang semalam mengalahkan Lecce 4-0 di Turin.

"Anak buah saya tahu bahawa taruhannya sangat tinggi. Kemenangan ini menggambarkan perwatakan dan kemahuan mereka. Kami mempunyai skuad yang terhad buat masa sekarang selepas berdepan masalah kecederaan," kata Inzaghi.

Pemain veteran Perancis Franck Ribery meletakkan Fiorentina di depan pada minit ke-25 dalam aksi keduanya selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan sejak November.

Lazio bangkit pada babak kedua dan menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi sepakan penalti Immobile selepas penjaga gol Fiorentina, Bartlomiej Dragowski menjatuhkan Caicedo.

Immobile meledak gol ke-28 dirinya dalam saingan liga musim ini untuk terus menguasai senarai penjaring Serie A, lima gol di depan bintang Juventus, Cristiano Ronaldo.

Sepakan leret Luis Alberto tujuh minit sebelum tamat permainan memastikan kemenangan buat Lazio.

Sebelum itu Cagliari terus mengekalkan peluang untuk layak ke Liga Europa musim depan selepas mengalahkan Torino 4-2.

Brescia pula semakin hampir untuk kembali ke Serie B selepas melepeskan peluang mendahului dua gol apabila hanya seri 2-2 menentang Genoa.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 1:03pm
d