arena

Todd ungguli hari ketiga Travelers

Oleh AFP

BRENDON Todd mengumpul pukulan paling rendah sepanjang karier apabila mencatatkan sembilan di bawah par 61 untuk mendahului dengan dua pukulan pada pusingan ketiga Kejohanan Travelers Jelajah PGA.

Todd, yang memburu kejuaraan ketiga bagi musim 2019/20, membenam sembilan birdie tanpa sebarang bogey di TPC River Highlands di Cromwell, Connecticut.

Pemain berusia 34 tahun itu memulakan aksi selepas mengumpul 66 dan 65 pada dua pusingan awal namun dia berjaya mendahului saingan selepas melakukan lima birdie pada sembilan lubang pertama.

Empat lagi birdie pada sembilan lubang terakhir membolehkannya mengumpul keseluruhan 18 di bawah par selepas tiga pusingan, dua pukulan mengatasi bekas pemainn nombor satu dunia, Dustin Johnson.

"Saya beraksi dengan penuh yakin, selepas agak merudum sebelum ini walaupun bermain dengan baik," kata Todd yang muncul juara dua kali berturut-turut pada kejohanan November lalu.

Sementara itu, Jelajah PGA berkata, mereka akan meningkatkan protokol keselamatan bagi kejohanan akan datang berikutan beberapa kes positif yang dicatatkan minggu ini di kejohanan berkenaan.

Mereka berkata, pada kejohanan minggu depan di Klasik Rocket Mortgage Classic di Detroit, tidak ada pemain, kedi atau mana-mana individu dibenarkan berada di kawasan lapangan sehingga disahkan negatif Covid-19.

Sebelum ini pemain dan kedia dibenarkan berada dalam kawasan lapangan untuk berlatih sementara menanti keputusan ujian namun mereka dilarang menggunkan fasiliti tertutup.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 3:14pm
d