arena

Kipre rasai semula aura latihan di Stadium Darul Aman

Oleh Izzali Ismail

PENYERANG import sensasi Kedah Kipre Tchetche teruja dapat kembali berlatih di Stadium Darul Aman selepas tiga bulan 'berehat' dari aktiviti latihan yang terhenti kerana tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Pemain kelahiran Ivory Coast berusia 32 tahun ini mahu terus fokus untuk mempersiapkan diri bersama pasukan bagi menghadapi Liga Super yang dijangka akan dimulakan pada September ini.

"Melangkah kembali ke Stadium Darul Aman memberi semangat dan azam baharu buat saya dan pasukan, kerana selepas tiga bulan berlatih sendirian dirumah, kini saya mendapat peluang semula untuk merasakan aura stadium yang saya rindui.

"Berada dalam stadium Hijau Kuning ini seolah 'terubat' segala kepahitan yang dilalui selama ini dan saya juga merasakan seperti baru sahaja pulih dari 'kecederaan' yang panjang.

"Namun misi penting yang perlu saya dan pasukan lakukan adalah bersiap sedia dengan sebaik mungkin dalam tempoh dua bulan ini untuk menghadapi kembali Liga Super yang dijangka akan dimulakan pada September ini.

Tchetche juga berkata, aspek pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang digariskan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semasa latihan ini merupakan perkara yang sangat penting bagi memastikan Liga Super dapat disambung semula selepas ini.

"Peluang kebenaran latihan yang diberi oleh MFL ini harus dimanfaatkan sebaiknya dan ini juga peluang untuk meningkatkan prestasi masing-masing ke tahap yang terbaik selepas lama tidak membuat latihan di padang."

"Sebagai pemain profesional saya menyeru semua pemain Liga M agar mematuhi segala garis panduan SOP yang ditetapkan MFL demi memastikan perangan untuk memulakan kembali Liga M dapat berjalan lancar pada musim ini.

"Kepada penyokong, saya harap semua terus memberi sokongan moral kepada pemain dan pasukan yang sentiasa bekerja keras bagi mengekalkan prestasi pasukan berada pada tahap yang terbaik." katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 3:33pm
d