arena

Tak sabar hayun kayu hoki

Oleh Saiful Affendy Sapran

DAPAT kembali berlatih seperti biasa bermula Rabu ini sememangnya sesuatu yang dinantikan oleh barisan pemain skuad hoki lelaki negara tidak terkecuali penyerang veteran, Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil.

Jelas Tengku, banyak perkara yang difikirkannya termasuklah perasaan bercampur baur kerana sesi latihan kali ini pasti tidak sama seperti kebiasaannya apabila perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Memang agak teruja dapat kembali berlatih kerana sebelum ini kami tak dapat beraksi di atas padang.

"Saya akui ia akan mengambil masa untuk sesuaikan diri dengan norma baharu sebab sudah lama tak berlatih secara normal," katanya.

Jelas Tengku lagi, tahap kecergasan setiap pemain termasuk dirinya pasti terjejas kerana tidak berlatih di atas padang dalam satu tempoh yang lama susulan pandemik Covid-19.

"Berlatih di rumah memang tidak sama macam berlatih di padang. Ketika itu, kami cuma dapat program dan lakukan program berkenaan saja di rumah," katanya.

Ketua jurulatih, Roelant Oltmans tiba hari ini dari Belanda dan perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Ketiadaan Oltmans menyaksikan sesi latihan skuad negara akan dikendalikan oleh dua pembantunya, Mohd Amin Rahim serta Mohd Nasihin Nubli.

Dengan pembatalan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada September depan, Malaysian Tigers hanya mempunyai satu tugasan antarabangsa tahun ini iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 6:45pm
d