arena

Afandi umum rehatkan dirinya, Presiden KAFA

Oleh Nor Amalina Alias

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengambil keputusan merehatkan presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah buat sementara waktu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu.

Keputusan itu turut melantik Naib Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin sebagai pemangku presiden, berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman itu dilakukan oleh Afandi sendiri selepas keputusan dibuat Jawatankuasa Eksekutif KAFA dalam mesyuarat yang berlangsung lebih sejam.

Katanya, keputusan itu dibuat berdasarkan situasi semasa KAFA yang dilanda masalah kewangan terutamanya soal pembayaran gaji pemain, pegawai dan tunggakan semasa.

"Kita ambil pendekatan untuk berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi KAFA, khususnya soal bebanan hutang dan tanggungan semasa.

"Kita bersetuju merehatkan dua jawatan tertinggi itu digantikan dengan Shaari dalam satu tempoh yang kita persetujui," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tamat mesyuarat berkenaan di Wisma KAFA, Chica, hari ini.

Afandi berkata, bagaimanapun, mesyuarat itu tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk Shaari menerajui KAFA.

Katanya, ini bagi memastikan Shaari yang juga jawatan paling kanan KAFA tidak rasa 'terikat' untuk membantu badan induk itu menyelesaikan kemelut persatuan itu sekiranya diberikan tempoh masa tertentu.

"Kita yakin masih mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi, terutamanya soal hutang kerana daripada jumlah hutang RM6.9 juta, kepimpinan baru sudah langsaikan RM2.4 juta dan masih berbaki lagi RM4.5 juta membabitkan gaji pemain, pegawai dan agensi.

"Dengan pengalaman dan kepimpinan Shaari, kita yakin dapat selesaikan dan tahun ini pasukan bola sepak kita juga bermula dengan pembukaan yang baik, persembahan pemain hebat, perlawanan kembali menarik perhatian penonton.

"Antaranya perlawanan Kelantan dan Kelantan United pada 10 Mac lalu berjaya menarik 10,000 penonton memenuhi stadium, cuma ketika kita baru bermula nak naik, wabak Covid-19 melanda dan merencatkan agenda, selain beberapa penaja turut menarik diri," katanya.

Sementara itu, Shaari berkata, dia akan menggunakan pengalaman sejak 2006 dalam KAFA untuk mengemudi persatuan bola sepak negeri ini.

Katanya, pelbagai rintangan, pengalaman pahit manis yang sudah beliau rasai dan sudah 'masak' dengan masalah yang dihadapi KAFA.

"Terlebih dahulu saya akan mulakan fokus pada pembangunan pasukan yang akan bersaing dalam sepak mula sebaik mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2020 @ 9:21pm
d