arena

City, Chelsea mara separuh akhir Piala FA

Oleh AFP

MANCHESTER City bangkit selepas tercicir mahkota Liga Perdana Inggeris kepada Liverpool untuk kekal di landasan tepat memburu kejuaraan berganda dengan menewaskan Newcastle 2-0 pagi ini, sekali gus melangkah ke peringkat separuh akhir, Piala FA.

City akan berdepan Arsenal di Wembley tanpa penonton bulan depan dalam perlawanan empat terakhir selepas the Gunners bangkit pada minit akhir perlawanan untuk menewaskan Sheffield United 2-1.

Chelsea mencatat kemenangan 1-0 di Leicester hasil jaringan Ross Barkley untuk pertemuan separuh akhir berdepan Manchester United.

Jaringan penalti disempurnakan Kevin De Bruyne dan rembatan menarik Raheem Sterling mengembalikan rentak kemenangan City di Tyneside selepas kekalahan 1-2 di Chelsea, Jumaat lalu yang mengesahkan mahkota kejuaraan liga bagi Liverpool buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

Barisan kendalian, Pep Guardiola ternyata menguasai permainan pada babak pertama, namun mereka perlu menunggu sehingga Gabriel Jesus dikasari Javier Manquillo di dalam kotak penalti pada lapan minit sebelum waktu rehat untuk membolehkan De Bruyne memecahkan kebuntuan gol.

Kekalahan kelapan liga bagi City dalam musim ini minggu lalu sekali lagi mendedahkan kelemahan di bahagian pertahanan yang perlu diselesaikan jika berhasrat meraih gelaran Liga Juara-Juara yang pertama kali buat kelab itu dan menambah satu lagi koleksi Piala FA selain Piala Liga yang dimenangi pada Mac lalu.

Dwight Gayle yang menerima hantaran Allan Saint-Maximin terlepas peluang terbaik menjaringkan gol awal buat Newcastle selepas rembatannya tersasar melepasi palang gol.

Bagaimanapun, serangan bertali arus City membuahkan hasil apabila Sterling yang melakukan larian solo bijak menghidu peluang melakukan rembatan di luar kotak penalti untuk gol kedua City.

Bos Chelsea, Frank Lampard melakukan enam pertukaran dalam pasukannya yang menewaskan City dan hampir dihukum dengan permulaan yang perlahan barisan kendaliannya di Stadium King Power.

Harvey Barnes, Wilfred Ndidi dan Jonny Evans terlepas peluang buat Leicester ketika Lampard mungkin kecewa dengan aksi pemain bintangnya.

Christian Pulisic yang menjaringkan gol pada dua perlawanan awal Chelsea sejak saingan bersambung semula dan sayap Amerika Syarikat pantas bangkit memulakan gerakan menerusi rembatan tepat yang berjaya ditepis keluar oleh Kasper Schmeichel.

Lampard memasukkan Barkley, Mateo Kovacic dan Cesar Azpilicueta pada separuh masa yang kelihatan lebih bertenaga selepas pertukaran itu dengan Kovacic menguasai barisan tengah.

Asakan bertali arus dan beberapa gerakan menarik membolehkan Chelsea mendahului pada minit ke-63 perlawanan.

Hantaran silang Willian membolehkan Barkley meledak jaringan untuk mengatasi jangkaan Schmeichel.

"Ia adalah pengalaman dalam pembelajaran. Saya mungkin merehatkan lebih ramai pemain. Saya tidak merehatkan pemain atas permintaan mereka," kata Lampard yang menggantikan Mason Mount, Reece James dan Billy Gilmour.

"Akan ada pemain terbaik buat kelab ini dan kemuncak kerjaya mereka. Tetapi jika sesuatu yang harus saya lakukan dalam perlawanan pasti saya lakukannya. Mereka akan menghadapinya sebagai satu cabaran.

"Kami amat kecewa apabila mereka gagal memanfaatkan peluang itu. Semua pemain simpanan, dengan cara mereka, tidak beraksi seperti diharapkan."

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 8:49am
d