arena

'Joie' tak sabar tangkap bola

Oleh Malik Muhamad

PENJAGA gol kelahiran Terengganu yang kini menyarung jersi Sabah, Wan Azraie Wan Teh akui terlalu rindu dan tidak sabar untuk turun menjalani latihan buat kali pertama di padang selepas semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sudah diselesaikan pasukannya.

Wan Azraie meluahkan dia sukar untuk mencapai kepuasan sepenuhnya sepanjang melakukan senaman kecergasan di kediamannya di Likas kerana latihan begitu terhad tanpa boleh melakukan layangan badan selain terpaksa melakukan bersendirian.

Bekas penjaga gol Terengganu FC (TFC) musim lalu itu juga akui agak sukar berlatih tanpa jurulatih, namun bagi memastikan kecergasan dapat dikekalkan, Wan Azraie tetap fokus dan meluangkan masa lebih sejam sehari dengan melakukan senaman yang sudah diprogramkan pasukannya.

"Sepatutnya kami mula menjalani latihan di padang hari ini selepas semua SOP yang ditetapkan oleh badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) sudah diselesaikan pasukan, tapi disebabkan masalah teknikal latihan tidak dapat dijalankan.

"Jika tanya saya memang tidak sabar dan begitu teruja untuk turun ke padang selepas lebih tiga bulan tidak pegang bola, lagipun kami baharu beraksi dalam empat perlawanan liga.

"Tapi saya berkeyakinan kami akan mula jalani latihan dalam masa terdekat kerana semua dokumen sudah diselesaikan pasukan walaupun perlu berlatih dalam suasana norma baharu kerana negara masih lagi berdepan dengan krisis pandemik Covid-19," ujar Wan Azraie.

Bercakap mengenai sasarannya musim ini, Wan Azraie yang lebih mesra dipanggil Joie berkata, dia menyasarkan untuk membantu pasukannya sekurang-kurangnya berada ditangga kelima liga selain mengintai peluang mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia.

"Secara peribadi kedudukan lima teratas liga adalah sasaran saya kerana sedar pasukan yang beraksi dalam Liga Super mempunyai kekuatan yang tersendiri, tapi sebagai pasukan pendatang baharu kami tetap mengimpikan kedudukan yang lebih baik dan jika dapat ianya bonus kepada kami," ujar Wan Azraie.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 8:28pm
d