arena

Bekas penyerang Melaka meninggal dunia

Oleh Nazri Abu Bakar

BEKAS pemain Melaka era 80-an, Mahazir Taha,61 meninggal dunia petang tadi.

Maslina Mahazir 24 yang juga anak bongsu Allahyarham berkata, ayahnya tidak menunjukkan sebarang penyakit kritikal kecuali demam dan dibawa ke klinik seterusnya ke Hospital Melaka yang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Katanya, tiada perubahan drastik terhadap ayahnya itu cuma demam panas, selebihnya biasa sahaja sehingga keluarga terbabit dikejutkan dengan berita sedih berkenaan.

"Ayah biasanya sibuk di kebun tebu pada setiap hari dan petang. Mungkin cuaca panas menyebabkan beliau demam.

"Namun kami tidak menduga beliau pergi buat selama-lamanya kerana dia masih aktif dan sihat. Jenazah masih dalam pemeriksaan pihak hospital termasuk ujian Covid -19 sebelum dikebumikan,"katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak adalah bekas penyerang lincah Melaka yang seangkatan Datuk Soh Chin Aun, G Torairaju dan Ramli Junit.

Malah Allahyarham turut membantu Melaka muncul juara liga 1983 yang ketika itu dibimbing Jurulatih Halim Darimi.

Sementara itu, Ramli Junit yang turut melawat jenazah Allahyarham di Hospital Melaka berkata,rakannya itu seorang yang amat berdisplin di luar dan di dalam padang.

Menurutnya, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad Melaka dan selain aktif membimbing pasukan di Liga Melaka.

Disiarkan pada: June 29, 2020 @ 8:37pm
d