arena

Djokovic terima ancaman menyeramkan

Oleh Agensi

SELEPAS Novak Djokovic diuji positif Covid-19 Selasa lalu, dunia sukan tenis seakan huru-hara dengan pelbagai kejadian.

Terbaru mengenai grafiti kematian berbaur ancaman di Croatia yang ditujukan kepada pemain nombor satu dunia itu.

Ia dapat dilihat di dinding tepi jalan di Split, Croatia, iaitu 90 minit dari Zadar yang menjadi tempat berlangsungnya kejohanan kontroversi Jelajah Adria, dengan mesej mahukan Djokovic segera meninggal dunia.

Minggu lalu, kejohanan amal Djokovic bertukar menjadi tempat penyebaran wabak Covid-19 di mana peraturan penjarakan sosial tidak dikawal.

Selain pemain kelahiran Serbia itu, isterinya, Jelena, jurulatih, Goran Ivanisevic dan pemain lain seperti Grigor Dimitrov, Borna Coric, dan Viktor Troicki kesemuanya diuji positif virus berkenaan.

Sejak dari itu, Djokovic meminta maaf kerana menganjurkan kejohanan berkenaan.

"Saya meminta maaf mengenai apa yang berlaku terutama kepada mereka yang terkena jangkitan. Saya berharap ia tidak mendatangkan kemudaratan tahap kesihatan dan semua orang berada dalam keadaan baik," katanya.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab menyampaikan mesek yang kurang menyenangkan.

"Djokovic, mati. Kami berharap anda mati. Salam perkenalan dari Split. Mati," mesej yang tertera di dinding berkenaan.

Ibu Djokovic, Dijana tidak mahu menghiraukan mengenai perkara itu. Ia seolah-olah mereka seperti hilang sabar.

"Ia sangat teruk dan menakutkan mengenai apa yang ditulis mereka namun kami tidak mengendahkannya.

"Kami semua masih dalam keadaan baik, begitu juga mereka berdua. Ia tidak bermakna Novak sakit walaupun dia positif. Dia masih muda dan seorang yang mengamalkan hidup sihat, ia mudah untuk disembuhkan," kata Dijana.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 12:04am
d