arena

Fokus Asia sebelum ke Olimpik - Yusoff

Oleh Firdaus Hashim

IMPIAN untuk melihat skuad kebangsaan kembali beraksi di pentas Sukan Olimpik bukanlah cerita dongeng atau khayalan apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut serius berusaha ke arah itu.

Dengan transformasi yang giat dilaksanakan termasuk membuka pintu buat pemain-pemain berdarah kacukan dan warisan, impian untuk melakar penampilan ketiga di temasya terbesar dunia itu selepas 1972 dan 1980, bukanlah omong kosong.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, buat permulaan fokus badan induk itu adalah cuba layak secara merit dalam setiap kategori umur di setiap kejohanan peringkat Asia seperti Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 16 (B-16), B-19, B-23 dan skuad senior iaitu Piala Asia.

"Kita dalam usaha untuk meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan. Sekarang pun rata-rata orang ramai dan penyokong pun dah nampak yang kita bergerak ke satu langkah ke depan.

"Atau pun imej bola sepak kebangsaan dah nampak berada pada landasan yang baik. Jadi fokus kita sentiasa nak tingkatkan tahap permainan pasukan negara, dan sekarang ini sasaran kita nak melepasi peringkat Asia dulu dan ini yang kita sedang usahakan.

"Kita harap bila kita dah sampai Asia itu, dah tentulah selepas itu Olimpik. Orang kata sasaran ke Olimpik itu ada cuma biarlah kita ambil langkah demi langkah supaya impian ke Olimpik bukan dongeng," katanya kepada Arena Metro.

Semalam, bekas pemain Harimau Malaya Bakri Ibni yang pernah mencipta sejarah membantu skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 menyarankan agar FAM menghidupkan semula misi ke Olimpik.

Selain Olimpik 1980, skuad bola sepak Malaysia turut pernah layak ke temasya sama pada 1972 di Munich, Jerman.

Bagi Bakri, FAM perlu mempelbagaikan sasaran untuk pasukan kebangsaan terutamanya bagi skuad remaja dengan menyasarkan kembali saingan Sukan Olimpik dikala semakin ramai pemain muda yang berusia dari 15-19 tahun mula mengetuk pintu beberapa kelab dan akademi di luar negara.

"Dengan adanya pemain naturalisasi, tonggak warisan dan pemain tempatan serta usaha FAM yang sentiasa mengasah permainan mereka, saya kira kita boleh layak.

"Namun kita kena bersabar dan apabila sampai masanya kita boleh capai hasrat itu untuk lihat pasukan pada tahap yang lain," kata Yusoff yang juga pengurus skuad Harimau Malaya.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 1:05am
d