arena

Nekad cipta sejarah hoki wanita

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR: Anak didik Lailin Abu Hassan tekad mahu bukti keupayaan kepada peminat sukan tanah air dengan mencipta sejarah layak ke Piala Dunia Remaja Wanita 2021 yang dijadualkan di Afrika Selatan.

Lailin yang dilantik selaku ketua jurulatih hoki wanita remaja sejak awal tahun ini percaya skuad bimbingannya mampu memberi saingan sengit, sekali gus berada dalam kelompok tiga terbaik pada kejohanan kelayakan di Piala Remaja Wanita Asia 2020 nanti.

"Malaysia sekarang berada dalam ranking lima terbaik Asia jadi tidak mustahil untuk kita cipta sejarah di Piala Remaja Wanita Asia nanti. Pemain juga ada tunjuk semangat juang tinggi, mereka yakin dengan diri mereka untuk lakukan yang terbaik," katanya.

Piala Remaja Wanita Asia 2020 yang dijadualkan dari 6 hingga 12 April lalu di Kakamigahara, Jepun ditunda ke satu tarikh belum diputuskan berikutan penularan Covid-19 di negara itu.

Kemungkinan tarikh baharu adalah selepas Sukan Olimpik 2020 dan sebelum 31 Disember 2020 kerana Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) menetapkan semua pengesahan kelayakan ke Piala Remaja Dunia 2021 akhir tahun ini.

"Jika kejohanan diteruskan April lalu, memang masa agak suntuk untuk persiapan. Bila berlaku penundaan ini, sekurang-kurangnya saya dapat menilai prestasi setiap pemain dengan lebih baik dan merangka perancangan perlawanan yang teratur," katanya.

Lailin berkata, pemilihan bagi skuad remaja wanita negara dilakukan Mac lalu, namun latihan dihentikan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada 18 Mac.

Beliau berkata, empat pemain yang pernah beraksi bersama pasukan senior turut terpilih membantu pasukannya iaitu Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad, Nur Amirah Syakirah Zulkifli, Kiran Deep Kaur dan Siti Zulaikha Husain.

Disiarkan pada: June 30, 2020 @ 6:00am
d