arena

Tangguh Piala Ryder jalan terbaik

Oleh Agensi

DARREN Clarke berkata penangguhan Piala Ryder tahun ini adalah keputusan terbaik kerana kemeriahan acara berkenaan tidak akan sama tanpa kehadiran peminat.

Rory McIlroy mahu pertandingan itu dianjurkan pada 2021 kerana krisis Covid-19 dan kapten pasukan Eropah pada 2016, Clarke ternyata bersetuju dengan pandangan rakan senegaranya itu.

"Penganjuran Piala Ryder tanpa peminat adalah tiada erti buat kejohanan itu," kata Clarke.

"Saya fikir penangguhan acara itu mungkin jalan terbaik dan lakukannya dengan lebih meriah dan lebih baik daripada sebelumnya pada tahun depan."

Sejak kebelakangan ini, terdapat spekulasi memuncak mengenai status penganjuran tahun ini yang dijadualkan akan dipinda kepada tahun depan, sekalipun belum ada pengumuman rasmi mengenainya.

Clarke, juara Terbuka 2011 berasakan penangguhan adalah penyelesaian terbaik demi kepentingan kejohanan itu walaupun dia percaya penganjuran secara tertutup di lapangan Whistling Straits mungkin memberi kelebihan kepada skuad Eropah diketuai Padraig Harrington.

"Untuk beraksi tanpa peminat mungkin satu kelebihan kepada pasukan Eropah kerana pasukan Amerika tidak berpeluang mendapat sokongan daripada peminat tempatan mereka, yang sangat diharapkan," tambah pemain berusia 51 tahun dari Utara Ireland itu.

"Namun pemain pasti membiasakan diri dengan persekitaran.

"Seluruh kawasan lapangan golf menjadi tumpuan dan ia adalah detik menarik saingan Piala Ryder."

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 9:57am
d