arena

Rumah mengaji Azmeer dapat sambutan [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

BEKAS pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof merealisasikan hasratnya melakukan kebajikan untuk pembangunan umat Islam dengan membuka rumah mengaji al-Quran percuma bermula jam 9 pagi hingga 10 malam hari ini.

Tenaga pengajar, Muhammad Asyraf Amiruddin, 21, berkata, beliau ditugaskan Azmeer untuk mengajar al-Quran kepada sesiapa sahaja yang ingin mempelajari bacaan kitab suci itu di Tongkang Yard, di sini.

Katanya, masa pengajian dipanjangkan bagi meraikan pelajar yang datang daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang terutama mereka yang bekerja.

"Ia bagi membolehkan sesiapa sahaja dapat memilih masa sendiri untuk belajar kerana kita faham kekangan masa golongan yang berkerja.

"Ada yang datang ialah kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ada warga emas berusia lebih 60 tahun, ada juga golongan peniaga serta profesional, mereka boleh bermula daripada alif, ba, ta atau terus membaca al-Quran," katanya ketika ditemui di pusat berkenaan hari ini.

Asyraf berkata, beliau bertuah dapat membantu melakukan kerja amal bekas pemain bola sepak itu yang juga adalah jirannya dahulu.

Katanya, rumah itu menyediakan al-Quran dan rehal kepada pelajar namun tetap menggalakkan pelajar membawa al-Quran sendiri bagi memudahkan mereka menanda helaian yang dibaca.

Sementara itu pelajar, Shabani Said, 37, berkata dia mula belajar di situ sejak Mac lalu, namun ketika itu ia dihadkan masa pada jam 9 hingga 11 pagi.

"Hari ini bermula jam 9 pagi hingga 10 malam, saya sangat gembira apabila pihak Azmeer melanjutkan masa sehingga malam, saya boleh datang sebelum saya berniaga atau selepas balik berniaga.

"Alhamdulillah di sini, saya dapat mempelajari bacaan yang betul, Ustaz Asyraf mengajar dan menegur bacaan dengan baik, saya sangat berterima kasih kepada Azmeer kerana memberi peluang kepada orang ramai belajar di sini secara percuma," katanya yang tinggal berhampiran rumah mengaji berkenaan.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 3:14pm
d