arena

Pesaka gesa pesilat mantap fizikal

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN tanpa latihan tersusun kerana terpaksa menjalani latihan sepanjang tempoh empat bulan di rumah, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) berbangga dengan kesemua atletnya yang tetap mengikut arahan jurulatih.

Begitupun, ia masih tidak mencukupi dan kekurangan itu perlu segera diatasi apabila mereka kembali melapor diri ke kem latihan pada 5 Julai ini.

Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, setiap atlet digesa mengejar kembali apa yang tertinggal bagi menutupi kelemahan terutama dari segi fizikal dan kekuatan otot.

Katanya, seramai 35 atlet termasuk jurulatih akan melapor diri pada 5 Julai ini sebagai persediaan untuk menghadapi Kejohanan Dunia dan Kejohanan Dalam Dewan Asia awal tahun depan.

"Tempoh dua minggu awal ini sangat penting buat semua atlet. Biarpun silat adalah sukan tempur yang masih lagi perlu mengikut SOP (prosedur standard operasi) mereka perlu pelajari teknik yang boleh digunakan apabila sudah boleh kembali berlatih seperti biasa.

"Saya juga minta jurulatih untuk beri perhatian kepada kecergasan, stamina dan juga kekuatan otot atlet kerana seperti kita maklum atlet tidak boleh menjalani latihan di gimnasium," katanya.

Untuk rekod, Malaysia bakal menjadi tuan rumah Kejohanan Silat Dunia edisi ke-19 di Kuching, Sarawak yang sepatutnya berlangsung Mac lalu namun ditunda berikutan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Megat menjelaskan masih belum ada tarikh baru kejohanan berkenaan dan Pesaka masih lagi memantau keadaan semasa sebelum mengumumkan tarikh baru penganjuran.

Disiarkan pada: July 1, 2020 @ 9:21pm
d