arena

Peluang Verstappen lakar hatrik

Oleh AFP

MAX Verstappen akan memburu kemenangan hatrik untuk Red Bull sekali gus muncul pendahulu kejuaraan pemandu di Grand Prix (GP) Austria minggu ini apabila Formula Satu (F1) kembali semula selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Verstappen berkata, tumpuannya tidak terjejas meskipun diletakkan harapan besar selain bakal beraksi tanpa penonton di litar Red Bull Ring.

"Saya tidak memikirkan mengenai hatrik. Paling penting untuk saya adalah memperolehi jentera kompetitif dan beraksi pada tahap terbaik.

"Saya tidak pernah meletakkan diri saya sebagai pelumba pilihan sebab bila anda melihat keadaan litar, ia tidak banyak memberi kelebihan kepada kami. Tapi tahun lalu kami berjaya melakukannya.

"Jadi saya tidak menjangkakan satu kemenangan yang mudah. Saya rasa Mercedes akan lebih kompetitif dan mereka adalah pasukan yang harus diberi tumpuan," katanya.

Verstappen memenangi GP Austria bersama Red Bull pada 2018 dan 2019.

Tahun lalu di meraih tiga kemenangan termasuk GP Austria dan lapan podium ketika Lewis Hamilton muncul juara dunia buat kali keenam bersama Mercedes.

Verstappen dan rakan sepasukannya, Alex Albon akan dibekalkan dengan pakej enjin Honda yang dinaik taraf.

Hamilton pula sedang memburu kejuaraan dunia kali ketujuh untuk menyamai rekod Michael Schumacher.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 10:46am
d