arena

Ecclestone bangga jadi bapa di usia 89 tahun

Oleh Agensi

BEKAS bos Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone menjadi bapa untuk kali keempat pada usia 89 tahun.

Isterinya, Fabiana Flosi, 44, selamat melahirkan anak lelaki hari ini.

Ecclestone yang sudah mempunyai lima cucu dan bakal berusia 90 tahun Oktober depan, mengesahkan berita itu kepada media tempatan.

"Kami dikurniakan anak lelaki bernama Ace. Saya sangat bangga.

Fabiana kemudian menambah: "Segala-galanya berjalan dengan lancar. Proses kelahiran berakhir selepas 25 minit. Terima kasih Tuhan."

Ecclestone yang juga seorang jutawan, kini menetap di Switzerland bersama pasangannya itu.

Ia adalah anak lelaki pertama Ecclestone selepas dikurniakan tiga anak perempuan menerusi perkahwinan terdahulu.

Anak pertamanya, Deborah, 65, adalah hasil perkahwinan bersama isteri pertama, Ivy Bamford sebelum dia memperoleh dua anak lagi iaitu Tamara, 35, dan Petra, 31, hasil perkahwinan dengan isteri kedua, Slavica Radic.

Ecclestone berkahwin dengan Fabiana pada 2012, tiga tahun selepas bercerai bersama Slavica.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 11:45am
d