arena

Mayweather suka pandu trak murah berharga RM117,000

Oleh Agensi

FLOYD Mayweather mendedahkan dia gemar memandu trak pikap berharga £22,000 (RM117,000) setiap hari kerana mahu kekal bersikap 'merendah diri'.

Petinju yang sudah bersara itu menunjukkan trak pikap Dodge Ram 1500 Classic ketika mendedahkan kediaman mewahnya bernilai £19 juta (RM101 juta) di Beverly Hills menerusi siaran langsung di Instagram.

Mayweather, 43, berkata: "Trak yang saya pandu setiap hari. Saya sentiasa merendah diri.

"Saya akan tunjukkan segala kereta milik saya. Anda tidak dapat mengatasinya."

Mayweather berada dalam senarai jutawan sukan eksklusif bersama-sama Michael Jordan, Cristiano Ronaldo dan Tiger Woods.

Dia mempunyai koleksi kereta yang keseluruhannya bernilai sekitar £20 juta (RM107 juta) dan menambah baik trak pikap miliknya untuk dilihat lebih menarik.

Pemegang rekod 50-0 itu berkata, ia adalah kenderaan paling digemarinya sebelum menunjukkan kepada peminatnya deretan kereta mewah di garaj miliknya.

Mayweather dikatakan mempunyai nilai kekayaan sebanyak £400 juta (RM2.142 bilion).

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 1:41pm
d