arena

Dana pembangunan bola sepak

Oleh Syazwan Msar

DANA bantuan Covid-19 berjumlah AS$1.5 juta (RM6.5 juta) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) bukan boleh dibelanjakan sesuka hati termasuk mengagihkan kepada persatuan bola sepak negeri atau kelab seperti diharapkan sesetengah pihak.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata, pihaknya boleh dikenakan tindakan daripada Fifa jika tidak menggunakan dana berkenaan berdasarkan garis panduan yang sudah ditetapkan mereka.

Stuart berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk pembangunan bola sepak yang terpaksa dihentikan sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

"Pada masa sama, dana terbabit turut digunakan untuk 'baik pulih' kembali beberapa masalah dan kerosakan berkaitan aktiviti atau program bola sepak berikutan penularan pandemik itu.

"Saya juga mengingatkan persatuan bola sepak negeri atau kelab tidak boleh memohon dana itu kerana bertentangan dengan garis panduan yang dikeluarkan Fifa.

"Jika ada lebihan dana, kita tidak boleh sewenangnya dibelanjakan termasuk jika mahu membayar tunggakan gaji kerana itu bukanlah tujuan peruntukan itu diagihkan kepada setiap badan induk bola sepak," katanya.

Sebelum ini, Fifa sebulat suara meluluskan pelan bantuan Covid-19 berjumlah kira-kira RM655 juta selepas mengambil kira pelbagai faktor yang melumpuhkan industri bola sepak dunia.

Fifa berkata 'semua dana operasi' bagi 2019 dan 2020 akan diagihkan kepada 211 ahli gabungan dalam masa terdekat 'sebagai langkah pertama dalam rancangan membantu komuniti bola sepak yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Setiap badan bola sepak kebangsaan akan menerima AS$500,000 (RM2.14 juta) dengan Fifa menjelaskan kebiasaannya ia akan diberikan 'selepas menepati kriteria yang spesifik' namun dana terbabit akan diagihkan dan sebarang 'baki agihan bagi 2019 dan 2020.

Sementara itu, Stuart berkata, dana bantuan itu mampu untuk membantu menangani kemelut kewangan persatuan yang turut terjejas akibat pandemik itu.

"Setakat ini, kita belum lagi memperincikan kegunaan dana berkenaan kerana segalanya diputuskan menerusi mesyuarat nanti," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 8:11pm
d