arena

Adam, Wan Kuzri sertai skuad B-19 kebangsaan

Oleh Syazwan Msar

SKUAD Bawah-19 (B-19) kebangsaan boleh dikatakan tampil lebih lengkap dengan kehadiran dua pemain berpengalaman beraksi di akademi luar negara bagi menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020 pada Oktober ini.

Berdasarkan senarai nama yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dua pemain berkenaan adalah pelatih Akademi Bolasepak BISP Cruizero berpengkalan di Brazil, Muhammad Adam Nadzmi Zamri.

Manakala seorang lagi, adalah adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal iaitu Wan Kuzri yang kini menimba pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat.

Dua pemain berkenaan akan menyertai 33 pemain lain akan menyertai kem latihan pertama yang bermula Isnin ini.

Selain itu, menerusi senarai 35 pemain yang dipanggil ke kem latihan pusat kali ini, 14 daripada mereka membabitkan skuad 23 pemain ketika saingan kelayakan di Phnom Penh, tahun lalu.

Sementara itu, beberapa tonggak utama dalam saingan kelayakan tahun lalu tidak dipanggil untuk kem latihan pertama ini seperti penjaga gol, Firdaus Irman Mohd Fadhil dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Zikri Mohd Khalili, yang mana mereka dijangka menyertai pasukan pada kem latihan pusat berikutnya.

Pengurus pasukan Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar berkata, pemain yang menyertai kem latihan pertama ini adalah mereka yang tidak mempunyai komitmen dengan pasukan masing-masing berikutan pembatalan perlawanan membabitkan Piala Belia dan Presiden.

"Luqman dan beberapa pemain tonggak B-19 lain tidak mempunyai masalah menyertai kem latihan nanti kerana mereka sekarang ini terikat dengan pasukan masing-masing.

"Pada masa sama, Luqman juga tidak mempunyai masalah atau halangan untuk menyertai latihan dan kita akan melihatnya nanti," katanya.

Skuad bimbingan Brad Maloney akan membuka tirai saingan Kumpulan D bertemu Tajikistan seterusnya aksi kedua menentang Qatar dan berdepan Yemen pada perlawanan terakhir yang akan dijadualkan berlangsung di Stadium AGMK, Olmalik, Uzbekistan.

Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 8:26pm
d