arena

SuperKIP tak dapat berlepas ke Sepanyol

Oleh Aida Adilah Mat

IMPIAN Khairul Idham Pawi atau SuperKIP untuk berlepas ke Sepanyol dalam misi beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia tidak kesampaian apabila tidak dibenarkan berlepas mengikut jadual.

Pelumba Moto3 Petronas Sprinta Racing itu, sepatutnya berlepas ke Sepanyol awal pagi ini terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan peraturan baharu ditetapkan Kesatuan Eropah yang hanya membenarkan 15 buah negara memasuki negara di bawahnya.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pihaknya berusaha mendapatkan kebenaran daripada pemegang hak penganjuran Kejuaraan Motosikal Dunia, Dorna bagi membantu pelumba negara memasuki negara itu.

"Kesatuan Eropah membuat pengumuman ini semalam dan kebetulan Khairul Idham berlepas pada tarikh yang sama jadi dia terkandas dan tidak dibenarkan berlepas.

"Apa yang boleh kita buat sekarang adalah minta pihak Dorna untuk bekerjasama dengan kerajaan Sepanyol dalam bahagian polis sempadan dan imigresen untuk memberi pengecualian buat semua peserta Malaysia yang mempunyai urusan di MotoGP (Kejuaraan Dunia) supaya boleh ke Sepanyol," katanya.

Perkara itu turut mengejutkan beberapa pelumba negara yang lain seperti Hafizh Syahrin Abdullah dan Kasma Daniel Kasmayudin yang akan beraksi dalam saingan Moto2 dan kini masih berada di Malaysia.

GP Sepanyol menjadi pusingan kedua musim 2020 selepas saingan pembukaan berlangsung di GP Qatar, Mac lalu.

Pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia turut mengganggu kelancaran kalendar musim dengan saingan di Litar Jerez dari 17 hingga 19 Julai ini berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Disiarkan pada: July 3, 2020 @ 6:58pm
d