arena

Adam janji peraga aksi terbaik

Oleh Syazwan Msar

KUALA LUMPUR: Pelatih Akademi Bolasepak BISP Cruizero berpangkalan di Phuket, Thailand, Muhammad Adam Nadzmi Zamri berazam memberikan aksi terbaik jika terpilih mewakili skuad bawah 19 tahun negara (B-19) bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020, Oktober depan.

Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu berkata, dia sudah bersiap sedia untuk menyertai kem latihan pertama skuad B-19 yang bermula 6 Julai depan.

Malah, dia turut memasang impian bergandingan bersama adik kepada Wan Kuzain Wan Kamal iaitu Wan Kuzri yang kini menimba pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat.

"Sudah tentu perkara utama adalah memikat hati barisan kejurulatihan dengan mempamerkan aksi terbaik supaya terpilih dalam kesebelasan utama B-19.

"Saya mengharungi pelbagai cabaran sebelum ini termasuk terlepas peluang mewakili skuad berkenaan pada musim lalu akibat kecederaan dan kini tampil lebih meyakinkan serta sudah lebih bersedia.

"Sejak balik ke kampung (Pulau Pinang) pada April lalu akibat Covid-19, saya menjalani latihan ringan dan mengikuti segala tunjuk ajar jurulatih akademi bagi mengekalkan prestasi," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Adam Nadzmi antara muka baharu yang dipanggil pengendali B-19 Brad Maloney untuk menyertai kem latihan pertama bersama 34 pemain lain.

Untuk rekod, Adam Nadzmi diserap di bawah Program Pasukan Berprestasi Tinggi (HPT) dan mendapat biasiswa sukan (bola sepak) sebanyak RM120,000 setahun yang dikendalikan di bawah Akademi Bolasepak Cruzeiro.

Bekas kapten pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dari 2010 hingga 2013 itu sebelum ini pernah dipanggil ke kem latihan, namun tidak terpilih berikutan mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 1:00am
d