arena

McGregor ucap takziah kepada Khabib

Oleh Agensi

CONOR McGregor mengucapkan takziah kepada seteru utama, Khabib Nurmagomedov selepas bintang UFC itu baru kehilangan bapanya.

Abdulmanap Nurmagomedov meninggal dunia pada usia 57 tahun kerana komplikasi berkaitan wabak Covid-19.

Pengurus Khabib mengesahkan berita sedih itu semalam dengan McGregor menyampaikan ucapan takziah selepas itu.

McGregor menerusi akaun twitter miliknya berkata: "Kehilangan bapa, jurulatih dan penyokong kuat kepada sukan ini. Takziah dan semoga tenang Abdulmanap Nurmagomedov."

Terdahulu jurulatih McGregor, John Kavanagh memuat naik mesej: "Sangat bersimpati mendengar kematian Abdulmanap Nurmagomedov.

"Seorang yang genius dalam sukan tempur dan menjadi inspirasi kepada semua. Satu kehilangan besar."

McGregor yang juga bekas juara dua kategori UFC manakala Khabib yang kini memegang kejuaraan lightweight, mempunyai perseteruan yang cukup hebat.

Kedua-duanya bertemu di UFC 229 pada Oktober 2018 dan Khabib menewaskan lawannya itu menerusi kuncian tetapi ia hanyalah permulaan kepada permusuhan antara mereka berdua.

McGregor mahukan perlawanan ulangan sejak tewas namun Khabib dilihat tidak berminat untuk bertemu lawannya itu lagi.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 10:07am
d