arena

Lampard gesa VAR dikaji semula

Oleh Agensi

PENGURUS Chelsea, Frank Lampard berkata, kajian terperinci perlu dilakukan pada hujung musim ini bagaimana untuk meningkatkan sistem video bantuan pengadil (VAR).

Lampard berkata demikian selepas gol penyamaan Tottenham tidak dikira ketika menentang Sheffield United, Khamis lalu kerana bola terkena tangan Lucas Moura terlebih dahulu.

Ulang tayang VAR menyaksikan bola terkena tangan Moura ketika dia terjatuh sebelum Harry Kane menjaringkan gol.

"Saya tidak fikir ia perlu dibatalkan. Apabila saya mendengar aduan daripada pengurus, saya mula memahaminya. Sejujurnya ia sukar untuk diterima.

"Saya juga bersimpati dengan pengadil dan dalam kes ini ia membabitkan pegawai VAR kerana mereka hanya mengikut peraturan ditetapkan.

Beliau menambah: "Saya rasa kita perlu duduk bersama pada hujung musim ini. Ia termasuklah pengadil, pengurus, pemain dan mana-mana pihak yang terbabit dengan bola sepak supaya dapat memberi idea untuk meningkatkan penggunaan VAR.

Pengurus Everton, Carlo Ancelotti pula berkata: "Ia adalah keputusan yang amat sukar tetapi keputusan yang diambil oleh pengadil adalah berdasarkan peraturan sedia ada.

"Mungkin selepas berakhir musim kita boleh memikirkan untuk mengubah peraturan itu."

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 11:24am
d