arena

Salah menderma lagi

Oleh Agensi

MOHAMED Salah menunjukkan sikap pemurahnya sekali lagi apabila menderma sebanyak £30,000 (RM160,000) untuk membina sebuah stesen ambulans di tempat asalnya di Mesir.

Bintang Liverpool itu sudah membayar kemudahan itu untuk kegunaan kira-kira 30,000 penduduk Nagrig yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bapanya, Salah Ghaly menyertai datuk bandar, Tarek Rahmy ketika majlis pembukaan kemudahan itu minggu lalu.

Salah sebelum ini menderma untuk sekolah perempuan, kemudahan sukan, peralatan perubatan dan tanah untuk membina pusat rawatan kumbahan di Nagrig.

Dia juga menderma makanan serta membantu membina semula hospital khusus untuk pesakit kanser ketika pandemik Covid-19.

Bulan lalu, pemenang dua kali anugerah pemain terbaik Afrika itu dikatakan membayar minyak petrol untuk semua pelanggan di sebuah stesen minyak di Liverpool.

Bintang berusia 28 tahun itu pada minggu lalu menyertai rakan sepasukan meraikan kejayaan Liverpool memenangi kejuaraan Liga Perdana selepas seteru utama, Manchester City tewas kepada bekas kelabnya, Chelsea.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 12:01pm
d