arena

Autobiografi Azmeer jana Pusat Pengajian Islam

Oleh Izzali Ismail

BEKAS pemain pertahanan Kedah, Azmeer Yusof bakal menerbitkan sebuah buku mengenai kisah hidupnya bermula sejak kecil hingga menjadi bintang bola sepak di beberapa kelab dalam Liga Malaysia (Liga M).

Buku yang sedang dihasilkan ini bakal mengisahkan kehidupan Azmeer sejak kecil bergelar budak setinggan di Kuala Lumpur hingga beliau mendaki dari satu tangga ke satu tangga untuk meralisasikan impian menjadi seorang pemain bola sepak dan ahli perniagaan.

Menurut pemain berusia 30 tahun ini, buku yang dijangka berada dalam pasaran pada Ogos nanti akan menyumbang kepada dana pembangunan Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof (PPIAY) yang sedang diusahakan kini di Kedah.

"Buku kisah hidup saya setebal lebih kurang 100 muka surat ini saya anggap satu 'cenderahati' buat semua peminat dan ianya akan dijual bukan semata-mata untuk meraih keuntungan, sebaliknya untuk berkongsi pengalaman suka duka kehidupan yang saya lalui dalam mencari kejayaan.

"Saya bersyukur segala perancangan mengenai penerbitan buku ini berjalan dengan lancar dan hasil keuntungan dari penjualan buku ini juga akan dimasukkan kedalam tabung untuk menyokong pembangunan Pusat Pengajian Islam yang juga kini dalam perancangan rapi.

"Buku ini juga akan menceritakan kisah bagaimana diperingkat kanak-kanak saya sebagai seorang budak setinggan di Kuala Lumpur mula berjinak-jinak dalam dunia bola sepak tanpa memasuki mana-mana sekolah sukan seperti mana ramai pemain muda masa kini," katanya ketika dihubungi.

Azmeer juga turut memaklumkan buku kisah hidup ini bakal mendapatkan komen seorang legenda bola sepak negara yang pernah memberi bimbingan kepadanya diawal peringat penglibatannya dalam dunia bola sepak.

"Legenda bola sepak berkenaan pernah memberi banyak kata nasihat, bimbingan dan panduan berguna untuk saya berjaya sebagai seorang pemain bola sepak sehingga saya mampu melakar nama dalam Liga Malaysia sejak awal penglibatan.

"Apapun biarlah sama-sama kita nantikan kemunculan buku istimewa ini yang dijangka akan sedia dijual dipasaran bermula Ogos ini dengan sentuhan penulis sukan terkenal dan berpengalaman hampir 40 tahun, Rodly Fadly," katanya dengan penuh semangat.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 3:43pm
d