arena

Poad perlu masa tingkatkan fizikal pelari

Oleh Aida Adilah Mat

BARISAN pelari pecut negara kini tidak sabar untuk kembali menjalani latihan secara lebih teratur selepas terpaksa berlatih di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pelari pecut terdiri daripada Haiqal Hanafi, Khairul Hafiz Jantan, Ruslem Zikry Putra Rosle dan Ilham Suhaimi akan melaporkan diri hari ini untuk meneruskan latihan di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Poad Md Kassim.

Poad ketika dihubungi berkata, beliau memerlukan masa dua hingga tiga bulan bagi membentuk kembali kekuatan fizikal dan stamina atlet-atletnya sebelum mereka dapat kembali ke prestasi terbaik.

"Memang mereka sudah tak sabar untuk kembali ke trek. Untuk peringkat awal ini, mereka akan diberi latihan mengikut fasa yang mana akan merangkumi proses pemulihan terlebih dahulu.

"Corak latihan pula akan menjurus kepada persediaan yang mana kami akan tumpu lebih banyak pada daya tahan kardiovaskular disamping menjaga atlet tidak mengalami kecederaan," katanya.

Katanya, beliau kini gembira dapat kembali melihat anak didiknya berlatih dengan lebih sempurna dalam persediaan untuk menghadapi tahun yang padat tahun depan iaitu bermula dengan Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Olimpik dan juga temasya Sukan SEA Vietnam.

Mengulas mengenai peluang Haiqal untuk beraksi di temasya Olimpik, Poad tidak meletakkan sebarang sasaran namun berharap atlet muda itu diberi peluang menimba pengalaman menyertai temasya besar.

Namun ia terpulang kepada keadaan semasa yang ketika ini masih belum ada sebarang senarai kejohanan buat atlet olahraga yang mana tarikh kelayakan ke Olimpik turut dilanjutkan hingga Jun tahun depan.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 5:29pm
d