arena

AHF ucap takziah atas pemergian Juriah

Oleh BERNAMA

PERSEKUTUAN Hoki Asia (AHF) menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas pemangku pengarah teknikalnya, Juriah Abdul Wahab Fenner hari ini.

Presiden AHF, Datuk Fumio Ogura berkata badan pentadbir Asia itu kehilangan tokoh utama hoki yang melakukan sumbangan besar terhadap perkembangan sukan berkenaan di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.

"Ini adalah satu kehilangan yang besar kepada keluarga hoki. Allahyarham adalah aset yang berharga dalam dunia hoki dan kehilangannya amat dirasai," katanya di laman web AHF www.asiahockey.org.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AHF, Datuk Tayyab Ikram turut mengucapkan takziah atas pemergian bekas pengurus pasukan hoki wanita Malaysia itu.

"Saya amat dukacita dengan berita pemergian Juriah. Doa dan ingatan saya bersama keluarga Allahyarham," katanya.

Juriah meninggal dunia pada kira-kira 11 pagi dipercayai ketika sedang tidur di kampung halamannya.

Allahyarham berusia 62 tahun.

Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gunung Mesah di Gopeng, Perak pada kira-kira 5 petang.

Presiden Persekutuan Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal turut meluangkan masa untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Juriah.

Disiarkan pada: July 4, 2020 @ 10:04pm
d