arena

Bayern sasar gelaran treble

Oleh AFP

MANUEL Neuer berkata Bayern Munich masih dahagakan kejuaraan treble musim ini selepas melengkapkan saingan liga dan memenangi Piala Jerman buat kali ke-13 hari ini.

Bayern yang memenangi kejuaraan Bundesliga buat kali kelapan, menewaskan Bayer Leverkusen 4-2 pada final Piala Jerman dan memenangi 11 perlawanan sejak liga bersambung pertengahan Mei lalu.

Gergasi Jerman itu adalah salah satu pasukan pilihan di saingan Liga Juara-Juara di Lisbon bulan depan yang mungkin membuka peluang kepada mereka untuk meraih kejuaraan treble sekali gus mengulangi kejayaan 2013.

"Kami akan berehat seketika dan kemudian kami akan pastikan berada pada prestasi terbaik untuk cuba memenangi kejuaraan treble.

"Kita dapat saksikan sejak beberapa minggu lalu betapa Bayern Munich bermotivasi tinggi dan dahagakan kejayaan. Apa yang kami sudah raih sekarang adalah sangat istimewa," kata Neuer yang juga kapten Bayern.

Robert Lewandowski meraih gol ke-51 musim ini selepas meledak dua gol pada aksi final manakala David Alaba dan Serge Gnabry masing-masing menjaringkan satu gol.

Ketua jurulatih, Hansi Flick nyata berbangga dengan pencapaian anak buahnya.

"Kami cukup berbangga dengan apa yang dicapai setakat ini. Apa yang pasukan raih sejak beberapa minggu lalu sangat menakjubkan," katanya.

Bayern kini mempunyai tempoh sebulan sebelum kembali kepada sasaran meraih treble dengan bertemu Chelsea pada pusingan kedua Liga Juara-Juara.

Disiarkan pada: July 5, 2020 @ 10:37am
d