arena

Khabib reda, tabah hadapi pemergian bapanya [VIDEO]

Oleh Agensi

SATU rakaman video menyaksikan juara lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov hadir pada majlis pengebumian bapanya, Abdulmanap Nurmagomedov yang meninggal dunia, Jumaat lalu.

Jurulatih dan mentor kepada Khabib itu meninggal dunia akibat komplikasi berkaitan pandemik Covid-19 pada usia 57 tahun.

Abdulmanap diletakkan di bawah pengawasan rapi dan meskipun ada laporan menyatakannya berada dalam situasi kritikal, beberapa pihak terdekat dengan keluarga Khabib yakin bapanya dapat kembali pulih.

Khabib yang mempunyai rekod tanpa kalah, masih belum membuat sebarang kenyataan rasmi berikutan kehilangan bapanya itu.

Selain Khabib, beberapa kenalan kepada petarung itu dilihat hadir pada majlis pengebumian Abdulmanap.

Beberapa petarung menerusi platform media sosial mengucapkan takziah kepada Khabib atas kehilangan bapanya.

Di sebalik situasi berbeza di UFC, Abdulmanap tetap utuh dengan kepercayaan agama Islam dan prinsipnya.

Paling diingati adalah ketika dia memaafkan Conor McGregor berikutan kata-kata kesat dilemparkan bintang Ireland itu ke atas nama dan keluarga Abdulmanap.

Ia berlaku menjelang pertemuan dengan Khabib pada Oktober 2018 yang menyaksikan bintang Rusia itu mencatat kemenangan bergaya menerusi gerakan kuncian ke atas McGregor.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 12:21pm
d