arena

PDRM tunggu lampu hijau

Oleh Malik Muhamad

"Alhamdulillah selepas menanti beberapa minggu akhirnya kami dapat melakukan ujian swab Covid-19 hari ini," kata ketua jurulatih PDRM, Mohamad Ishak Kunju Mohamad.

Bagaimanapun bekas pertahanan skuad Terengganu itu berkata, beliau belum memutuskan lagi tarikh sebenar untuk mengendalikan latihan di padang kerana perlu menunggu keputusan ujian berkenaan.

Selain itu katanya, pasukan The Corp juga perlu mendapat surat kelulusan daripada pengelola Liga Malaysia (Liga M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kerana itu antara syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

"Semua pemain termasuk pegawai yang semuanya berjumlah 30 orang sudah melakukan ujian swab pada pagi ini di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur manakala tiga pemain lagi akan melakukan ujian itu pada esok.

"Secara jujurnya kami begitu lega kerana semua SOP yang ditetapkan MFL sebelum pemain dapat menjalani latihan di Pulapol sudah dipatuhi dan kini hanya menunggu keputusan ujian itu dan surat pelepasan daripada pengelola Liga M.

"Namun setakat ini kami belum menetapkan lagi tarikh sebenar, tapi jika dalam sehari dua ini keputusan dan surat kebenaran diperolehi, mungkin kami akan mula turun ke padang sama ada Khamis atau Jumaat ini," kata Ishak.

Mengenai SOP ketika latihan nanti, Ishak yang baharu musim ini memimpin pasukan The Corp mengakui sudah melakukan perancangan rapi sebagaimana yang ditetapkan kementerian kesihatan dan MFL bagi mengekang pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 2:19pm
d