arena

Tinju cadang gelanggang latihan profesional

Oleh BERNAMA

PERSATUAN Tinju Malaysia (PTM) bercadang melakukan perubahan dengan mewujudkan suasana gelanggang latihan lebih profesional serta mengambil jurulatih asing bagi memantapkan skuad elit kebangsaan bagi menghadapi beberapa kejohanan tahun depan.

Timbalan Presiden PTM, Mohd Iruan Zulkifli, berkata beliau akan bertemu dengan wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memohon peruntukan untuk membuat penambahbaikan terhadap pusat latihan petinju negara di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) Keramat, di sini.

"PTM merancang melakukan perubahan bukan sahaja melibatkan struktur kejurulatihan, malah ia akan menyentuh aspek kemudahan latihan yang disifatkan sebagai kunci utama dalam memberi keselesaan kepada petinju negara.

"Ia wajar dilakukan apatah lagi beberapa peralatan utama yang terdapat di pusat latihan sudah mencecah usia 20 tahun. Perbelanjaan itu tidak sebesar mana sebenarnya, hanya sedikit tetapi ia boleh mengubah dari segi semangat dan minda petinju, jadi boleh beri kesan positif terhadap prestasi mereka.

"Kalau dilihat pada suasana sekarang, saya rasa mereka pun tidak mendapat elemen "wow" itu. Benda yang sama sahaja sejak dulu," katanya.

Mohd Iruan menjelaskan perubahan yang bakal dilakukan adalah membabitkan gelanggang tinju, penambahbaikan peralatan gimnasium dan juga karung tinju baharu termasuk mengubah kedudukannya ke kawasan yang lebih luas.

Katanya, kedudukan karung tinju yang berdekatan dengan dinding menyebabkan kesukaran untuk petinju untuk bergerak ketika latihan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Iruan berkata pemilihan jurulatih antara enam calon dari Rusia, Cuba dan Kazakhstan sudah berada di peringkat akhir dan bakal diketahui selewat-lewatnya September depan.

Beliau berkata jurulatih tempatan akan dilantik sebagai pembantu jurulatih bagi membolehkan mereka memperoleh ilmu dan pengalaman daripada jurulatih asing.

"Sudah pasti kita mahu cipta kejayaan, nak menang pelbagai kejohanan di semua peringkat, namun untuk permulaan kita mahu menang pingat pada Sukan Sea 2021 di Hanoi," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kesemua 10 petinju Program Podium dan enam pelapis telah mendaftarkan diri dan membuat ujian calitan Covid-19 di MSN Bukit Jalil, hari ini.

Mereka akan ditempatkan di Kompleks MSN Keramat, manakala latihan penuh dijangka bermula Khamis ini selepas keputusan ujian calitan Covid-19 diperoleh, katanya.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 6:50pm
d