arena

Wan Kuzri jalani kuarantin dulu

Oleh Syazwan Msar

PEMAIN remaja yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal terlepas hari pertama menjalani latihan pusat skuad Bawah-19 (B-19) bersama 34 pemain lain apabila dia perlu menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

Menerusi kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Wan Kuzri akan menyusul kemudian untuk menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.

Katanya, seramai 34 pemain hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini bagi persiapan awal menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober depan.

"Sebaik melapor diri, seramai 17 pemain terus melakukan Ujian Calitan atau 'Swab Test' manakala baki pemain lain sudah pun melakukan ujian itu bersama kelab masing-masing sebelum ini.

"Pemain diingatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang kem latihan pusat yang dijadualkan sehingga 26 Julai ini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Berdasarkan senarai diumumkan FAM dua pemain pelatih Akademi Bolasepak BISP Cruizero Muhammad Adam Nadzmi Zamri selain Wan Kuzri yang kini menimba pengalaman bersama Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat bakal memperkuatkan skuad itu.

Dua pemain berkenaan akan menyertai 33 pemain lain akan menyertai kem latihan pertama yang bermula hari ini.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 8:01pm
d