arena

SIC sedia anjur kejohanan MotoGP

Oleh Aida Adilah Mat

SAMA ada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menganjurkan Kejohanan MotoGP Dunia hanya akan diketahui hujung bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azhan Shafriman Hanif berkata, keputusan penganjuran kejohanan motosikal terbesar itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat selepas pihak berkuasa bermesyuarat berhubung penganjuran pertandingan.

Biarpun apa sahaja keputusannya itu nanti Shafriman berkata, SIC sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuklah penganjuran tanpa penonton ataupun sebaliknya.

"Kami sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang begitu teliti dan maklum balas yang diterima dari menteri (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) juga positif selepas sesi lawatannya ke SIC.

"Jadi saya amat berharap apabila perkara ini di bawa ke mesyuarat menteri-menteri terutama bahagian kejohanan ia akan dapat teruskan terutama membabitkan penganjuran tempatan.

Berhubung penganjuran MotoGP ia akan diputuskan hujung Julai ini," katanya.

Berhubung dengan pembelian tiket oleh peminat yang sudah mendapatkan tiket lebih awal, Shafriman berkata, beliau tidak boleh memberi sekarang komen ketika ini kerana masih belum ada sebarang kata putus dicapai.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 akan membabitkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan dua minggu di Jerez, iaitu pada 19 dan 26 Julai.

Mengikut kalendar perlumbaan Malaysia bakal menjadi tuan rumah saingan MotoGP pada 1 November ini.

Disiarkan pada: July 6, 2020 @ 10:13pm
d